Monday, November 30, 2009

Tip mengurangkan tekanan

Terdapat beberapa tips yg kita blh amalkan btujuan mengurangkan tekanan kerja. Antaranya ialah :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah dingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur'an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki
tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.


5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

8) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.


9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja.Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapatdiselesaikan dengan jayanya.

Friday, August 28, 2009

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul











Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul

1 – Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadis berikut:

“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

2 – Meratakan/meluruskan telapak kaki dengan talapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.

“Dari Anas bin Malik r.a. berkata, “(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud) Baginda s.a.w. mengarahkan jari jemari kakinya ke arah kiblat. (Rujuk: Tuntutan Rasulullah Dalam Ibadah, hlm. 19. Ibn Qaiyyim al-Jauziyah – Dinukil dari buku: Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri)

Betul - Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)

Salah - Kaki tidak lurus ke hadapan

3 – Menutup ruang/celahan di antara saf.

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa'i, & Ahmad. Juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud, 1/197) Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/198)

4 – Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang baik/betul.

Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim)

Keudukan/susunan Saf Yang Betul Dan Rapi

Kedukan/Susunan Saf Yang Salah yang mana banyak terjadi di sekeliling kita Masa ini

Larangan Membuat Saf Sendirian

Seorang makmum dilarang membuat saf sendirian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Wabishah bin Mi’bad, bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seseorang solat di belakang saf sendirian, maka beliau memerintahkan untuk mengulang solatnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/299 dan Irwaa’ul Ghalil, no. 541)

Menurut Sheikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin (rujuk: asy-Syarhul Mumti’, 4/376-385), jika seseorang menjumpai saf yang sudah penuh, sementara ia sendirian dan tidak ada yang ditunggu, maka boleh baginya solat sendiri di belakang saf itu.

Untuk menjaga keutuhan, seseorang dibolehkan untuk maju atau bergerak ke hadapan ketika mana mendapati ada saf di hadapannya yang terputus. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah, beliau bersabda, “Barangsiapa yang memenuhi celah yang ada pada saf maka Allah akan mengampuni dosanya.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Tiada langkah paling baik melebihi yang dilakukan oleh seseorang untuk menutupi celah di dalam saf. Dan semakin banyak teman dan saf dalam solat berjamaah akan semakin afdhal, sebegaimana yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat seorang bersama seseorang lebih baik daripada solat sendirian, dan solat bersama dua orang lebih baik dari solat bersama seseorang. Dan bila lebih banyak maka yang demikian lebih disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Muttafaq ‘Alaih)

Terpisahnya Makmum Dengan Imam Kerana Dinding

Diriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, “Rasulullah s.a.w. solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek, sehingga orang-orang dapat melihat Nabi s.a.w., maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya...” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Memasuki Saf Dalam Keadaan Tenang

Dan ketika memasuki saf untuk solat disunnahkan untuk melakukannya dengan tenang iaitu tidak terburu-buru, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah, bahawasanya ia solat dan mendapati Nabi sedang ruku’ lalu dia ikut ruku’ sebelum sampai kepada saf, maka Nabi berkata kepadanya, “Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat (kemahuan), tetapi jangan kamu ulangi lagi.” (Hadis Diriwayatkan oleh Bukhari) Dan dalam Riwayat Abu Daud, ada tambahan, “Ia ruku’ sebelum sampai di saf lalu dia berjalan menuju saf.” (Rujuk artikel berkenaan hal ini di pautan berikut: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/02/082-persoalan-masbuk-ketika-imam-sedang.html)

Rujukan/Disusun Daripada:

1 – Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, Terbitan Darus Sunnah Press, Cet. Pertama – Oktober 2007.

2 – Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Tamamul Minnah (Judul Asli: Tamamul Minnah fi Takliq ‘ala Fiqhus Sunnah), Terbitan Pustaka Sumayyah, Cet. Kelima – Disember 2007.

3 – Sheikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, Cet. Kedua – Januari 2008.

4 - Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007.

5 – Sheikh Masyhur Hasan Salman, Koreksi Total Ritual Solat (Judul asli: al-Qawl al-Mubiin fii akhthaa’ al-Mushalliin), Terbitan Pustaka Azzam, Cet. Ke 3 – 1993M.


Sumber: http://www.tranungkite.net/v9/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=12688&start=0&postdays=0&postorder=asc&highlight=