Pasangan perlu tahu apa masalah belenggu suami termasuk mungkin bosan dengan kerenah isteri
Kata wanita itu, di rumah suaminya seorang yang agak pendiam dan sukar diajak berbual. Malah, sepatah ditanya maka sepatah yang lazimnya akan dijawab oleh suami. Wanita itu mengeluh lagi, katanya, keadaan itu membuatkannya berasa bosan dan ada kala tertekan dengan sikap suami.
Mendengar segala luahan itu, teman lamanya agak sedikit terkejut. Setahunya, di pejabat suami kepada rakannya itu tidak berhenti bercakap dan ada saja topik yang hendak dibincangkan. Kadangkala, bergurau dan mengusik rakan lain serta rajin juga bergosip sesama teman. Kenapa pula jadi begitu?
Kaunselor berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata senario suami menjadi pendiam dalam rumah tangga dan berubah watak apabila berada di luar memang banyak berlaku. Malah, sepanjang mengendalikan kaunseling perkahwinan, masalah seumpama itu adalah antara isu atau konflik rumah tangga yang kerap diluahkan oleh isteri.
“Berdasarkan kajian kes banyak faktor yang menyebabkan suami menjadi pendiam ketika di rumah dan antaranya ialah tidak wujud lagi hubungan mesra antara pasangan berkenaan seperti mana mereka bercinta dulu.
“Faktor lain ialah timbul kebosanan suami terhadap kerenah isteri yang selalu mengongkong, banyak bertanya dan asyik membebel atau bercakap tidak berhenti-henti tanpa mengira tempat dan keadaan. Untuk ‘melarikan diri’ daripada semua itu dan tidak mahu menimbulkan konflik serta keadaan haru biru, lelaki memberontak atau protes secara diam dengan mengambil sikap mendiamkan diri,” katanya.
Beliau berkata, sikap seperti itu sebenarnya tidak baik untuk hubungan antara suami isteri. Sikap dan tindakan suami itu akan lebih menyakitkan hati isteri yang tidak faham serta tidak tahu apa-apa dipendamkan oleh pasangannya.
Bagaimanapun, Hushim, berkata tidak semua lelaki bersikap seperti itu sebaliknya, ada yang boleh bersoal jawab dan tidak kisah jika pasangannya bertanya apa saja dilakukannya serta mengetahui segala tindak tanduknya.
“Selain kedua-dua faktor itu, suami bertukar menjadi pendiam mungkin juga disebabkan ada orang ketiga dalam rumah tangga. Suami bukan takut dengan isteri tetapi mengambil jalan selesa dengan hanya berdiam diri dan membiarkan isteri saja bercakap atau bertanya.
“Suami seperti itu bijak bermain psikologi dan dia tahu, apabila tiba masa isteri akhirnya akan berhenti bertanya apabila soalan diajukan tidak dijawab. Selain itu, ada suami yang bimbang jika dia menjawab maka akan lebih banyak lagi pembohongan yang dibuatnya kepada isteri,” katanya.
Hushim berkata, memang ada suami yang hanya bersikap pendiam di rumah atau bersama pasangan, tetapi tidak bersikap seperti itu ketika berada bersama rakan atau di luar rumah seperti di tempat kerja.
Katanya, suami yang bersikap sedemikian boleh dianggap berada dalam dua dunia berbeza atau bertopeng apabila berada dalam situasi berbeza. Antara alasan diberikan, tiada cerita yang boleh dikongsi bersama atau topik menarik yang perlu dibincangkan dengan isteri. Ada juga yang selamba berkata, ketika bercinta dulu, sudah banyak perkara dibincangkan bersama sehingga tiada ‘modal’ lagi untuk dijadikan bahan perbualan.
“Berbanding ketika bercinta, isu yang dibincangkan tentulah lebih banyak mengenai soal kasih sayang, kesetiaan dan perasaan cinta,” katanya.
Sebagai contoh, apabila suami bercakap mengenai sesuatu hal seperti masalah di pejabat, isteri sepatutnya cuba menyesuaikan topik itu dan perlu memberi sokongan kepada pasangan. Sebagai wanita, tidak rugi jika sekali-sekala mengalah dan mendengar apa yang dicakapkan suami daripada anda bercakap hal lain.
Pada masa sama, isteri perlu menjadi pendengar yang baik kepada suami dan cuba elakkan banyak menyampuk supaya suami tidak berasa bosan.
Hakikatnya, kata Hushim, sindrom suami menjadi pendiam di rumah tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana konflik seperti itu bukan saja membuatkan rumah tangga menjadi hambar, tetapi turut menyebabkan sehingga berlaku perceraian.
“Lelaki perlu bersikap terbuka dan membuka ruang untuk berkomunikasi selalu dengan isteri. Sikap suami yang terus membisu boleh memberikan tekanan kepada isteri. Malah, konflik yang timbul boleh memberi kesan kepada anak.
“Paling dikhuatirkan, isteri yang dalam keadaan tertekan akan bertindak melampaui batas sehingga bersikap ‘pindah gantian’ kepada anak dan melakukan perkara negatif seperti yang berlaku dalam beberapa tragedi sedih antara ibu dan anak sebelum ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment