Kemusykilan Agama
SOALAN : Saya mempunyai sedikit kemusykilan mengenai sujud tilawah ataupun dipanggil sujud sajadah. Tolong ustaz terangkan maksudnya.
JAWAPAN :
Tilawah ertinya bacaan dan sujud sejadah itu ialah perbuatan sujud
apabila seseorang itu bertemu ayat sajadah dalam bacaan al-Quran sama
ada di dalam solat ataupun di luar solat. Orang yang mendengar juga
dituntut sujud apabila mendengar ayat sajadah. Ini bermaksud, orang yang
dituntut sujud ialah orang yang membaca ayat sajadah dalam solat, orang
yang membacanya di luar solat, orang yang mendengar tidak dalam solat
dan tidak membaca. Ketiga-tiga keadaan ini dituntut sujud tilawah.
Jika
seseorang itu membaca al-Quran bersendirian dan sampai pada ayat sujud
tilawah hendaklah dia sujud. Manakala jika seorang imam membaca ayat
sajadah lalu apabila sampai pada ayat sajadah dia pun sujud, maka wajib
bagi makmum mengikut imam dalam sujud.
Dalam
tertib sujud pula disunatkan bertakbir sebelum sujud dengan tidak
mengangkat kedua tangan dan hendaklah memelihara adab ketika sujud
seperti mana sujud dalam solat. Bacaan yang disunatkan dalam sujud
sejadah ialah Allahumma laka sajdtu wa bika aamantu, wa laka aslamtu,
sajada wajhiya lillazi khalaqahu wa sawwarahu, wa syaqqa sam'ahu wa
basarahu wa quwwatihi, fa tabarakallahu ahsana al-Khaliqin.
Di sini suka saya jelaskan makna bagi bacaan sujud tilawah. Doa qunut yang bermaksud: Wahai
Tuhan, kepada-Mu jualah aku sujud, dengan-Mu jualah aku beriman dan
kepada-Mu lah aku berserah, telah sujud wajahku kepada yang telah
menciptanya, yang telah memberi rupa baginya dan telah memberi
pendengaran dan penglihatan dengan kehendak-Nya dan dengan kekuatan-Nya,
Tuhan yang penuh limpah keberkatan-Nya telah menjadikan manusia dengan
sebaik-baik kejadian.
Adapun
syarat sujud bagi mereka yang di luar solat adalah seperti berikut;
pertamanya suci daripada hadas kecil dan hadas besar, keduanya; menutup
aurat, ketiganya; berniat untuk sujud tilawah, keempatnya; menghadap
kiblat, kelimanya; takbiratulihram dan takbir bagi sujud, keenam; memberi salam.
Sekiranya
terdapat halangan yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat sujud,
seperti berhadas kecil, dalam kenderaan atau mendengarnya dari corong
masjid, maka diharuskan mengucapkan: SubhanAllahi walhamdulillahi, wa laa Ilaha illahi, wallahu akbar.
Bagi
yang menjadi makmum pula, hendaklah mengikut imam, sekiranya imam tidak
sujud pada ayat sajadah, sama ada sengaja atau pun tidak maka makmum
juga tidak boleh sujud bersendirian. Makmum wajib mengikut imam selagi
mana imam tidak tertinggal atau meninggalkan rukun dalam solat.
Memandangkan sujud tilawah adalah sunat muakkad, maka makmum tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan yang menyanggahi imam.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: Apabila
anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh
sambil menangis. Katanya, "kecelakaan ke atas aku! Anak Adam disuruh
sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi
aku menolak maka untukku neraka. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut mazhab al-Syafieyyah,
hukum sujud sajadah adalah sunat muakkad, atau sunat yang amat
digalakkan. Manakala mazhab al-Hanafiyyah mewajibkan sujud sajadah.
Daripada Umar r.a.: Pada
suatu hari Jumaat, dia (Rasulullah SAW) membaca surah al-Nahl di atas
mimbar, maka ketika sampai pada ayat Sajdah, dia lalu turun dan sujud.
Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat
berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat
Sajdah dia berkata: Wahai manusia, sebenarnya kita tidak
diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barang siapa bersujud,
dia telah melakukan yang benar. Dan barang siapa yang tidak
melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa. (riwayat al-Bukhari dan Muslim, al-Syawkani, Nail al-Awtar, jld:2, hlm:100 )
Ayat-ayat sujud sajadah mengikut al-Syafieyyah ada 14 kesemuanya:
Surah 7 (al-A'Raaf) ayat 206
Surah 13 (ar-Ra'd) ayat 15
Surah 16 (al-Nahl) ayat 50
Surah 17 (al-Isra') ayat 109
Surah 19 (Maryam) ayat 58
Surah 22 (al-Hajj) ayat 18
Surah 22 (al-Hajj) ayat 77
Surah 25 (al-Furqaan) ayat 60
Surah 27 (an Naml) ayat 26
Surah 32 (as-Sajdah) ayat 15
Surah 41 (Fushshilat) ayat 38
Surah 53 (an-Najm) ayat 62
Surah 84 (al-Insyiqaq) ayat 21
Surah 96 (al-'Alaq) ayat 19
Surah 7 (al-A'Raaf) ayat 206
Surah 13 (ar-Ra'd) ayat 15
Surah 16 (al-Nahl) ayat 50
Surah 17 (al-Isra') ayat 109
Surah 19 (Maryam) ayat 58
Surah 22 (al-Hajj) ayat 18
Surah 22 (al-Hajj) ayat 77
Surah 25 (al-Furqaan) ayat 60
Surah 27 (an Naml) ayat 26
Surah 32 (as-Sajdah) ayat 15
Surah 41 (Fushshilat) ayat 38
Surah 53 (an-Najm) ayat 62
Surah 84 (al-Insyiqaq) ayat 21
Surah 96 (al-'Alaq) ayat 19
Adapun
bacaan ayat daripada surah Shaad ayat 24 menurut Syafi'iyah dan
Hanbaliyah tidak termasuk ayat yang dituntut sujud, tetapi ayat itu
adalah ayat yang disunatkan untuk sujud syukur. Hal ini dinyatakan dalam
hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bermaksud: Shaad
tidak termasuk dalam tuntut sujud (iaitu ayat 24), sesungguhnya aku
telah melihat Rasulullah SAW sujud padanya, lalu baginda bersabda: telah
sujud Daud as dalam ayat sebagai taubat kepada Allah swt, manakala kita
sujud sebagai tanda syukur kepada Allah. (riwayat al-Bukhari, no:1069, jld:3, hlm:257)
Untuk
mengenali ayat-ayat Sajdah itu di dalam al-Quran, pada kebiasaannya
pada ayat-ayat itu ada ditandakan dengan garis atau di penghujung ayat
itu ditandakan simbol dengan tertulis perkataan sajadah.
Walau
bagaimanapun bagi solat yang dibaca dengan suara perlahan, umpamanya
solat Zuhur, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia
selesai menunaikan solat supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan
makmum.
Adalah tidak perlu untuk seseorang itu bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) apabila hendak melakukan sujud sajadah di luar solat. Namun begitu, apabila seseorang itu sedang berdiri, maka perlulah dia bertakbiratulihram di kala qiam, lalu sujud, duduk, dan salam.
SOALAN : SAYA
tinggal di sebuah kawasan perumahan yang rata-rata penduduknya bekerja
makan gaji. Alhamdulillah di surau kami pada setiap Subuh Jumaat,
imamnya akan membaca surah Alif Lam Mim Sajdah. Persoalan saya, adakah
wajar surah itu dibaca setiap pagi Jumaat walhal ada ketikanya waktu
Subuh agak lewat iaitu pukul 6 atau 6.05 pagi menyebabkan makmum
tergopoh-gapah selepas selesai salam untuk ke pejabat?
JAWAPAN : SEPOTONG
hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang telah memberitahu bahawa:
Rasulullah SAW akan membaca surah Alif Lam Mim dan surah al-Insan pada
solat fajar pada hari Jumaat."(riwayat al-Bukhari, no:891, jld:3, hlm:33
).
Dalam
menjelaskan kandungan ayat hadis ini Ibnu Daqiq al-Aed berpendapat:
Hadis ini tidaklah bermaksud mesti membaca kedua-dua surah itu secara
berterusan. Seorang ulama yang bernama al-Qarafiy di dalam kitabnya, Fawaid al-Mhazzab menjelaskan
bahawa: "Sekiranya waktu tidak mengizinkan untuk membaca surah Sajdah
maka hendaklah dibaca beberapa ayat yang ada padanya sajadah."
Setelah
meneliti hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama dapatlah disimpulkan
bahawa membaca surah Sajdah iaitu Alif Lam Mim dan surah al-Insan adalah
sunat muakkad, maksudnya sunat yang dituntut. Maksudnya masih lagi
dalam kategori sunat, ini tidaklah bermaksud boleh ditinggalkan begitu
sahaja. Dalam hal ini imam surau atau masjid mestilah memahami keadaan
makmum. Baginda pernah mengingatkan para imam agar jangan memanjangkan
bacaan khuatir ada di kalangan makmum yang mempunyai hajat untuk
ditunaikan, mungkin juga ada orang tua yang tidak berdaya, termasuklah
warga yang ingin berkejar ke tempat kerja.
Semua
ini perlu dipertimbangkan agar solat itu sempurna. Sekiranya subuh
lambat, masuk waktu pukul 6.05 minit, azan lima minit, tunggu makmum 10
minit, sudah 15 minit, maksudnya solat Subuh mula 6.20 minit. Tidak
setakat lambat dibuatnya imam baca lambat campur sangkut (tak berapa
lancar). Pasti akan habis solat jam 6.45 pagi.
Sebenarnya
imam perlu cari penyelesaian sekiranya Subuh lambat, bacalah surah
Sajdah dengan membahagikan untuk dua rakaat. Rakaat pertama baca ayat 1
dari surah Sajdah sampai ayat 22 dan sambung surah yang sama mula dari
ayat 23 hingga habis. Ini harus, dan dapat menjaga fadilat sujud sajadah
di pagi Jumaat. Janganlah yang sunat itu diperlihatkan seperti wajib,
sehingga menggangap kalau tak baca surah Sajdah, tidak sah solat Subuh
pagi Jumaat.
Ini
sudah bercanggah dengan syariat Rasulullah SAW, baginda hanya
menunjukkan yang terbaik, ini bermaksud siapa yang ada kemampuan dan ada
waktu serta kelapangan lebih baik buat yang sempurna, tetapi kalau ada
hambatan buatlah yang termampu, asalkan yang wajib tidak ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment